KUCHING, 22 April : Perkembangan jangkitan COVID-19 di Sarawak hari ini menyaksikan 19 daerah antaranya Marudi, Matu, Sarikei dan Tatau merekodkan sifar kes baharu bagi tempoh 24 jam lepas.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, ketika ini Kuching, Miri, dan Bintulu kekal sebagai tiga daerah teratas yang mencatatkan kes tertinggi harian dengan masing-masing 34, 22 dan 20 kes.
Menerusi kenyataan sama, JPBN turut mengesahkan satu kes kematian akibat COVID-19 yang direkodkan semalam.
“Kes kematian melibatkan seorang wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.
“Mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis,” jelas JPBN menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Sarawak mencatatkan 142 kes baharu jangkitan baharu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif mencecah 304,574 kes sejak dilanda pandemik. – TVS