Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis kenal pasti dalang insiden ratusan Rohingya lari dari depot imigresen

Foto : BERNAMA

BANDAR BAHARU, 21 April : Polis sudah mengenal pasti dalang utama yang disyaki mencetuskan insiden ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk G. Suresh Kumar berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu merupakan tahanan di depot berkenaan dan dipercayai tahanan lama.

Baca > > > ‘Kami lari kerana semua rakan lari’ – Tahanan Rohingnya

“Kami percaya lelaki ini menjadi ‘kepala’ yang mungkin mengapi-apikan sentimen untuk bertindak.

“Lelaki ini masih bebas dan usaha mengesan masih diteruskan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di sini, hari ini.

Suresh berkata siasatan masih diteruskan dan setakat semalam, seramai 200 tahanan Rohingya disoal siasat.

Beliau berkata lebih 20 anggota daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas ketika kejadian dipanggil hari ini untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat setakat ini, kami mendapati mereka ini (tahanan) melarikan diri kerana ingin bebas dan tidak menjurus kepada sikap tidak puas hati terhadap sistem pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu DSP Mohd Akmal Hizam Abd Khupur memberi jaminan kawasan itu selamat walaupun berlaku insiden ratusan etnik Rohingya yang lari dari depot tahanan, awal pagi semalam.

Beliau berkata 14 pasukan polis dengan kekuatan lebih 350 anggota termasuk Pasukan Gerakan Am digerakkan untuk mencari saki-baki tahanan yang masih bebas.

“Buat masa ini kami menumpukan pekan Bandar Baharu, Relau dan Lubok Buntar dengan masing-masing merangkumi dua kilometer radius pencarian.

“Mereka ini (tahanan) ada yang kita jumpa di tepi jalan dan dipercayai ada yang masih bersembunyi di kawasan semak tanpa arah tujuan,” katanya.

Mohd Akmal Hizam turut menasihatkan penduduk untuk tidak bertindak bersendirian sekiranya berhadapan dengan tahanan itu dan melaporkan kepada anggota di balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian awal pagi Rabu, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, melarikan diri.

Setakat ini, seramai 130 tahanan iaitu 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan belum dijumpai.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan