SEBUYAU, 21 April : Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaikinya melanggar sebuah kapal muatan pasir di perairan Kuala Batang Lupar, di sini awal pagi tadi.Â
Mangsa yang dikenali Isa Uja, 35, dipercayai hilang setelah bot itu terbalik akibat pelanggaran pada pukul 3 pagi itu.
Rakannya pula difahamkan berjaya menyelamatkan diri dengan berpegang kepada tali.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Rais Abd Rashik berkata, rakan mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Sejurus mendapat maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), enam anggota bomba yang dalam perjalanan ke lokasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa jatuh kapal di Pulau Burong terus bergerak ke Batang Lupar,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd. Rais memberitahu, operasi SAR dilakukan dalam lingkungan radius lima kilometer dari lokasi kejadian menggunakan bot penyelamat bomba.
Operasi SAR turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan enam orang awam. -TVS