KUCHING, 21 April : Setelah dua tahun ditutup ekoran pandemik COVID-19, Bazar Aidilfitri Satok kembali dianjurkan sekaligus memeriahkan suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Tinjauan TVS mendapati lebih 80 tapak perniagaan dibuka sekaligus memberi peluang kepada para peniaga mencari pendapatan.
Ahli Lembaga Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB), Awang Adam Awang Rabai berkata, pihaknya selaku penganjur berharap agar tapak berkenaan menjadi platform terbaik untuk membantu usahawan-usahawan tempatan.
“Kita gembira kerana pada tahun ini Bazar Aidilfitri Satok kembali. Usahawan perlu meneruskan kelangsungan hidup setelah lama terkesan akibat pandemik,” katanya ketika ditemui selepas melawat bazar berkenaan semalam.
Sementara itu kumpulan peniaga yang ditemui turut bersyukur dan gembira kerana berpeluang berniaga pada tahun ini.
Peniaga baju kurung yang hanya mahu dikenali sebagai Puteri Amira berkata, peluang yang diberikan oleh KUBSB akan digunakan sebaik mungkin olehnya untuk mencari rezeki.
“Saya berharap dapat menjual stok pakaian yang tersimpan sebelum ini.
“Saya perlu jual barangan ini kerana telah mengeluarkan modal yang besar,”katanya.
Bagi peniaga songkok, Alam Syah, 33, pula, dia sangat berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membenarkan aktiviti perniagaan di Bazar Satok beroperasi pada tahun ini.
Sementara itu, bagi Nik Hussein yang telah menjalankan perniagaan butang Baju Melayu selama 22 tahun berkata, walaupun dibenarkan kembali berniaga pada tahun ini, namun dia tetap risau.
Katanya, ini kerana dia dan rakan – rakan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan berikutan peningkatan kos operasi termasuk modal.
“Harga barang naik tetapi sebagai peniaga, saya akan cuba memberikan tawaran harga terbaik kepada pelanggan,”katanya.
Bazar Aidilfitri Satok mula dianjurkan oleh KUBSB sejak 2010 namun tidak dibuka pada 2020 dan tahun lepas kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).-TVS