SIBU, 21 April : Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul isteri dan anaknya menggunakan kipas sehingga mencederakan mereka berdua dalam kejadian di Sibujaya, di sini petang Selasa lalu.
Difahamkan, ketika kejadian pada pukul 7 petang itu, suspek yang pulang ke rumah mengamuk dan menuduh isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Menurut sumber, suspek yang bekerja sebagai buruh itu didakwa membaling kipas meja ke arah isterinya manakala anak lelaki mereka turut dicekik ketika cuba menolong ibunya.
“Dua beranak itu kemudian melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Sibujaya.
“Ketika pergaduhan tercetus, suspek menggugut mahu mencederakan isteri dan anaknya menggunakan parang,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner, Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau memberitahu, suspek telah direman selama empat hari sehingga 24 April untuk membantu siasatan.
“Polis memberkas suspek yang berusia 49 tahun itu tengah malam tadi,”katanya.
Katanya, isteri suspek yang berusia 43 tahun cedera di bahagian kepala manakala anaknya lebam pada leher dan tangan kanan.
“Polis juga merampas sebilah parang dan satu kipas sebagai barang kes,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan. -TVS