KUCHING, 20 April : Tekanan akibat ‘dikurung’ terlalu lama dikatakan menjadi punca seramai 528 orang tahanan etnik Rohingya ‘merusuh’ dan melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada pukul 4.30 pagi tadi.
Menurut sumber, majoriti mereka merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang ditahan di situ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020.
“Mereka tidak dilepaskan atau dihantar pulang ke negara asal. Bayangkan tekanan yang dihadapi kumpulan ini,” katanya kepada TVS.
Baca > > > TERKINI: Enam Rohingya maut lari dari Depoh Imigresen di Pulau Pinang
Berdasarkan gambar dan video yang tular, pintu pagar di depoh berkenaan turut dirosakkan oleh kumpulan terbabit sebelum mereka melarikan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selepas melarikan diri, kumpulan itu cuba melintasi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kilometer (KM) 165 menyebabkan enam maut dilanggar kenderaan kira – kira pukul 6.50 pagi tadi.

“Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Menurut Mohd. Shuhaily, selepas menyedari ‘rakan – rakan’ mereka maut, kumpulan tahanan yang melarikan diri itu tidak ‘berani’ lagi melintasi lebuh raya sebaliknya berjalan di bahagian tepi sehingga ditahan pihak berkuasa.
“Ketika ini, polis sedang mengesan baki 205 orang tahanan depoh, kita akui memerlukan tenaga yang ramai.

“Seramai 229 warga Rohingya ini ditahan sekumpulan anak muda pagi tadi manakala penduduk sebuah kampung berhampiran berjaya menahan 88 orang dan menyerahkan kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kejadian berkenaan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Dato Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, sejurus tahanan-tahanan terbabit melarikan diri, pegawai-pegawai bertugas terus mengaktifkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menghubungi polis dan agensi lain yang berkaitan.
“Setakat pukul 10 pagi tadi, seramai 362 orang tahanan berjaya ditangkap semula. Operasi mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai tahanan yang lari ini dipohon untuk memberi kerjasama dan memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau PDRM. – TVS