KUCHING, 20 April : Koperasi Kariah Masjid yang merupakan sebuah entiti perniagaan di masjid dapat menjadi platform untuk melahirkan usahawan berkaliber dalam kalangan anggotanya.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia , Zazali Haron berkata, selain berfungsi mencari pendapatan dan keuntungan kepada masjid, ia juga membuka peluang pekerjaan dan perniagaan.
Katanya, ia juga bagi memenuhi keperluan asas bagi seluruh ahli koperasi dengan menawarkan aktiviti-aktiviti yang diperlukan oleh masyarakat terutamanya ahli di kawasan sesebuah masjid tersebut.
” Koperasi Kariah Masjid juga digalakkan menjalankan aktiviti-aktiviti yang berteraskan perusahaan secara komuniti dan sosial seperti pusat asuhan kanak-kanak, pusat tuisyen, kedai runcit, pertanian dan industri asas tani serta perkhidmatan yang berimpak kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penggalakan Dan Pengukuhan Koperasi Kariah Masjid Zon Selatan Sarawak, di sini hari ini.
Pada masa sama, Zazali turut berharap program dapat memberi ruang kepada ahlinya untuk melaksanakan pelbagai aktiviti demi pembangunan ummah serta merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam masyarakat.
Tambahnya, gerakan koperasi juga akan dapat menjadi salah satu jentera pertumbuhan ekonomi dengan merancak dan memperkukuhkan aktiviti yang dilaksanakan oleh ahli kariah.
Sehingga 31 Disember 2021, gerakan koperasi di Sarawak mempunyai bilangan koperasi kariah sebanyak 26 buah dengan keanggotaan seramai 1,736 orang membabitkan jumlah yuran sebanyak RM 234,000.
Jumlah aset pula mencecah RM 1.47 juta dan dengan perolehan sebanyak RM 912,000. – TVS