Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kes Bella: Tambah baik undang-undang, audit pusat jagaan, antara cadangan TMJ

Foto : FB HRH Crown Prince of Johor

JOHOR BAHRU, 20 April : Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang.

Baginda menerusi pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun di Royal Johor Polo Club di sini, bertitah mencadangkan kerajaan agar menambah baik dengan segera undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001.

Baca > > > Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak sindrom down

Baca > > > Bella disuruh makan nasi yang dicurah cuka, ayam goreng busuk – saksi

Baca > > > ‘Saya lihat Bella menggelupur’ – Saksi

aca > > > Kes Bella : TMJ terima menghadap Rina Harun esok

“Ia (penambahbaikan) harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

“Ini untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titah Tunku Ismail dalam hantaran di laman Facebook semalam.

Tunku Ismail bertitah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu melakukan penguatkuasaan dengan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan, serta menutup segera pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram, iaitu pelaksanaannya bermula di Johor.

Tunku Ismail bertitah tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram.

“Kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain. 

“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksana segera,” titah baginda.

Terdahulu pertemuan itu turut disertai Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, Wakil UNICEF ke Malaysia Amanda Bissex dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin Nisa Ismail.

Kes Bella meraih perhatian masyarakat sejak tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan