TAWAU, 20 April : Taktik penyeludup menjadikan sebuah bangunan terbiar di Batu 4, Jalan Apas di sini sebagai lokasi simpanan rokok sebelum diedar kepada berakhir selepas ‘tempat rahsia’ itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintenden Ridzauddin Selamat berkata, menerusi risikan dan rondaan dalam Op Gelora yang dilakukan pasukannya pada pukul 10.20 malam tadi, pihaknya menyerbu lokasi berkenaan.
Katanya, anggota PPM menemukan empat kotak berisi pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup.
“Semua rokok itu dianggarkan bernilai RM27,588 itu telah dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam
kenyataan di sini.
Jelasnya, PPM yang meneruskan pemantauan di lokasi itu namun tiada individu yang ‘tampil’ untuk mengambil barangan berkenaan.
Ridzauddin berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – TVS