Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kerajaan tetap teruskan pelaksanaan gaji minimun bulan depan – Saravanan

KUALA LUMPUR, 18 April : Kerajaan tetap akan meneruskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara walau apa juga keadaan, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan telah memberikan kelonggaran dengan menangguhkan pelaksanaan kadar gaji minimum itu kepada beberapa sektor pekerjaan termasuk sektor tidak formal dan syarikat yang kurang daripada lima pekerja apabila ia dikuatkuasakan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sudah umum 1 Mei adalah hari pelaksanaan gaji minimum sebagai penghargaan kepada warga kerja, ‘tanpa mengira apa juga keadaan’, kita teruskan dengan RM1,500.

Yang penting, ini bukan ikut suka hati saya, kita ikut akta (Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011) dan  harus membuat semakan gaji minimum setiap dua tahun,” katanya.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Sifar Gelandangan menerusi Program Penempatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Menara Perkeso di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perkeso dengan MyQaseh Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama dalam usaha menyediakan perkhidmatan penempatan pekerjaan untuk golongan gelandangan di bawah inisiatif berkenaan.

Saravanan juga memaklumkan terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam pelaksanaan gaji minimum yang akhirnya mampu menghalang rakyat daripada mendapat manfaat sepatutnya.

Beliau juga mengakui sukar untuk memuaskan hati semua pihak khususnya pihak majikan dalam pelaksanaan gaji minimum yang akan dikuatkuasakan pada bulan depan.

Pada Mac lepas, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan melaksanakan kadar gaji minimum berjumlah RM1,500 bermula Mei tahun ini, manakala beberapa pihak majikan dan persatuan pula meminta kerajaan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan sehingga ke hari ini.

Mengenai Inisiatif Sifar Gelandangan, Saravanan berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan pada tahun ini sekali gus menangani isu gelandangan di Malaysia.

Katanya seramai 100 gelandangan telah mendapat manfaat dengan penempatan pekerjaan pada tahun lepas dan wujudnya keperluan untuk memperkemas koordinasi pemberian bantuan agar masalah gelandangan dapat diselesaikan.

MoU yang menumpukan usaha bagi mendapatkan tawaran pekerjaan kepada gelandangan itu ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif MyQaseh Trina Thomas Raj.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan