KUCHING, 18 April : Kek Lapis Sarawak, tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas.
Permintaan terhadap manisan popular bumi kenyalang ini tidak pernah putus-putus, apatah lagi menjelang musim perayaan.
Antara pilihan popular ialah Kek Masam Manis, Lapis India, Swiss Roll, Cheese, Cheese Oreo dan Evergreen.
Istimewanya Kek Lapis Sarawak ini ialah kepebagaian warna, rupa dan rasanya.
Pengusaha kek lapis, Mohd Khairul Hafiz memberitahu, selain rasanya yang enak, uniknya kek lapis ini adalah pada namanya.
“Ia ada keunikannya sendiri seperti nama kek adalah kek lapis India. Orang Semenanjung tidak terfikir yang didalamnya ada chocolate Cadbury,” katanya.
Meskipun tampil dengan kepelbagaian, Khairul Hafiz berkata, premis kek lapis miliknya tidak melaksanakan sebarang kenaikan harga.
Ujarnya, ia merupakan antara strategi pemasaran selain mahu terus promosi Kek Lapis Sarawak ke seluruh dunia.
Selain harga, kualiti serta kepelbagaian pilihan yang ada turut menjadi antara faktor kekerapan pelanggannya untuk datang kembali.
“Selama 15 hingga 20 tahun ini, Premis Dayang Salhah tidak pernah menaikkan harga kek lapis Sarawak,” kata salah seorang pelanggan Mohamad Nassir.
“Kita bawa ke sini disebabkan oleh kualiti dan kita suka pelancong menghargai apa yang mereka dah beli di sini yang banyak pilihan,” kata pemandu pelancong, Margaret Tan.
Setiap hari, premis Dayang Salhah menghasilkan 250 loyang kek lapis sambil dibantu 8 orang pekerja
“Kalau kami empat orang bakar kuih dalam seorang lima jenis kuih, 12 loyang selalu kami bakar lima jenis kuih, begitu juga pada malam hari dalam dua belas loyang, empat atau lima jenis macam tu,”
Kebanyakan pembeli adalah orang luar seperti orang semenanjung dan kebanyakan mereka adalah pelajar dari UNIMAS dan UiTM yang mereka hendak balik ke semenanjung,” kata salah seorang pekerja, Hayati Jeman.
Sebagai antara pelopor perusahaan kek lapis di Sarawak, Khairul Hafiz turut berkongsi rasa syukurnya apabila perniagaannya kini kembali ‘hidup’ setelah negara memasuki ke fasa peralihan ke endemik.
Katanya, perniagaannya sebelum ini yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid-19 telah merudum hingga memaksanya untuk menutup operasi kilang.-TVS