Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

Tiket mahal, PM arah KPDNHEP teliti tindakan terhadap syarikat penerbangan

BERA, 17 April : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

Menurutnya berdasarkan laporan media, harga tiket berkenaan dikatakan naik sehingga 500 peratus pada musim perayaan, dan beliau menyifatkan ia sebagai ‘agak melampau’ kerana rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke negeri-negeri berkenaan selain dengan menaiki kapal terbang. 

Baca > > > Harga tiket melambung sehingga 566%, bebankan warga Sabah, Sarawak sambut Aidilfitri

Baca > > > Harga tiket mahal, perlu ada situasi menang-menang – Abdul Karim

Baca > > > Akan siasat kesahihan tiket mahal ke Sabah dan Sarawak – Wee Ka Siong

Sehubungan itu perdana menteri berkata beliau telah meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk meneliti jika berlaku perlanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berhubung kenaikan harga itu. 

“KPDNHEP perlu tegas terhadap mana-mana pihak, tidak kira syarikat besar atau kecil yang mengambil untung berlebihan di bawah AKHAP… tindakan segera perlu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat. Kita tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan pada waktu (sambutan) Hari Raya atau puasa untuk memberi tekanan kepada rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pasar raya MG CoopMart milik Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera Berhad (Kopbera) dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Kopbera Tahzir Husain. 

Selain KPDNHEP, Ismail Sabri berkata beliau juga telah meminta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk mencari jalan penyelesaian bersama dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mengurangkan harga tiket, dan menurutnya beliau difahamkan pertemuan dengan pihak-pihak terlibat telah berlangsung. 

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama. 

Sementara itu Ismail Sabri berkata mesyuarat jawatankuasa khas tangani kos sara hidup pada Jumaat ini akan meneliti cadangan beberapa kementerian khususnya KPDNHEP untuk memastikan harga barangan keperluan harian dijual pada harga munasabah dan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya. 

Mengulas mengenai kewujudan pasar raya oleh koperasi, Perdana Menteri menyatakan hasratnya untuk melihat lebih banyak koperasi menguasai rantaian peruncitan bagi memutuskan sistem orang tengah, yang akhirnya dapat membantu mengurangkan harga barang untuk manfaat pengguna. 

Beliau berkata perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana jumlah koperasi di negara ini adalah besar, dan kerjasama erat antara koperasi membolehkan mereka terlibat di peringkat pengeluaran, pengedaran, pemborongan dan peruncitan. 

‘Perjuangan’ mengatasi harga orang tengah bukan baru bagi Ahli Parlimen Bera itu, kerana ia telah mula dilakukannya sejak menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, malah beliau pernah mengisytiharkan 2014 sebagai tahun jihad untuk memerangi golongan berkenaan. 

“Saya lancar jihad kerana kita tahu yang penentuan harga kadang-kadang dilakukan kumpulan kartel yang terdiri daripada orang tengah dan sebagainya. Waktu itu saya lihat sukarnya kehidupan nelayan yang selepas isyak menyabung nyawa turun ke laut, dan balik selepas subuh.

“Orang tengah menunggu di tepi pantai dengan seluar yang tidak basah pun, tetapi mereka yang untung manakala nelayan rugi kerana mereka mendapat harga murah (daripada orang tengah) dan pengguna juga rugi (kerana harga jualan tinggi),” kata Ismail Sabri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan