KUCHING, 17 April : Yayasan Aids Malaysia (MAF) bersama Sunway Berhad akan mengembangkan subsidi khas kepada pesakit kronik di Sarawak selain pesakit HIV/AIDS.
Pengarah Eksekutif MAF, Jasmin Jamil berkata, antara kumpulan yang dijangka menikmati manfaat berkenaan termasuklah pesakit jantung dan diabetis.
Katanya, sejak lima tahun lalu dua organisasi berkenaan meneruskan usaha untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan di negeri ini.
“Ini selaras dengan misi kami dan rakan strategik yang tidak mahu meminggirkan pesakit terutamanya golongan B40,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Barangan Keperluan Makanan tajaan Sunway Berhad di Teratak Kasih Tok Nan di sini hari ini.
Menerusi program ini, ketiga – tiga organisasi bekerjasama menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas bernilai RM200 kepada pesakit AIDS Kuching pada Ahad.
Yang turut hadir, Penaung Teratak Kasih Tok Nan, Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu dan Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Sunway, Bernard Paul.
Teratak Kasih Tok Nan telah dinamakan sempena nama bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem yang diasaskan oleh Yayasan AIDS Malaysia membantu golongan pesakit HIV dari kawasan pedalaman negeri ini.
Menerusinya, pesakit akan diberikan tempat tinggal di Teratak Kasih Tok Nan sambil menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Sementara itu, Bernard berkata, program ini adalah selaras dengan prinsip syarikat tersebut yang mengutamakan semua pihak tanpa mengira status sosial.
“Selain itu kami juga akan bekerjasama bersama MAF untuk program #Sunwayforgood Raya Festive Cheer bagi membantu seramai 3,800 individu yang terkesan dengan HIV/AIDS sempena Hari Raya Aidilfitri ini,”katanya. -TVS