BINTULU, 17 April : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak merampas 105 kotak rokok seludup yang disembunyikan dalam sebuah kontena awal pagi tadi.
Komandernya, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali berkata, serbuan dilakukan pada pukul 4 pagi menerusi Op Kontraban di Sibiyu Industrial Estate, Jalan Bintulu-Tatau dekat sini.
Kata beliau, sepasukan anggotanya yang membuat pemeriksaan di situ mendapati kontena itu dikunci.
“Pasukan operasi menunggu hampir dua jam namun tiada individu yang tampil untuk menuntut barangan dalam kontena.
“Oleh itu, tindakan memotong kunci pada bahagian pintu kontena dilakukan dan menjumpai sebanyak 105 kotak rokok yang dipercayai rokok tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Zulfikar, nilai keseluruhan rampasan rokok termasuk sebuah kontena berjumlah RM790,500.
“Kesemua rampasan diserah kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.-TVS