KUCHING, 16 April : Dalam tempoh dua hari, sebuah rumah di Lorong Satok, dekat sini mengalami kebakaran sebanyak empat kali.
Terbaharu, dalam kejadian kira – kira pukul 12.17 tengah malam tadi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan BBP Batu Lintang dikejarkan ke lokasi berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran melibatkan tingkat bawah yang berjaya dikawal lima minit kemudian.
“Pasukan Bomba membuat pemadaman dengan dua pancutan nozzel yang masing-masingnya satu pancutan menggunakan hosereel ,”jelas PGO menerusi kenyataan media hari ini.
Baca > > > Rumah di Jalan Satok terbakar dua kali hari ini
Sebelum ini, pada 14 April lepas, rumah sama mengalami kebakaran pada pukul 1 pagi yang melibatkan bilik tidur.
Bomba kemudian menerima panggilan kedua pada pukul 12.15 yang memaklumkan rumah itu terbakar kali kedua.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran malam tadi manakala punca serta anggaran kerugian masih disiasat. -TVS