MUKAH, 16 April : Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah ladang di Balingian, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Makassar itu diberkas menerusi serbuan yang dilakukan anggotanya pada pukul 8.30 pagi di sebuah blok dalam ladang berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut pada tubuh suspek telah menjumpai satu paket plastik lutsinar dan satu keratan tiup straw berwarna oren berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 1.13 gram.
“Dadah itu dianggarkan bernilai RM180 dan kesemua barang telah merampas untuk dijadikan barang kes,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Muhamad Rizal memberitahu, suspek turut gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.-TVS