Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Letak jawatan sebagai pensyarah, Rowena kejar impian jadi usahawan

ByMadeline Dugat

KUCHING, 16 April : Minat mendalam terhadap bidang perniagaan membuatkan Rowena Cliffton mengambil keputusan nekad iaitu melepaskan jawatan sebagai pensyarah.

Wanita ini kemudian terus menyusun langkah untuk mengejar impian keusahawanannya.

Begitupun, misinya tidak semudah menaip ‘surat berhenti kerja’ kerana dunia baharu yang dijejakinya itu merupakan sesuatu yang berbeza kerana beliau tidak mempunyai pengalaman.

Di sebalik semua itu, ia tidak pula melunturkan semangat Rowena untuk memulakan perniagaan produk bermotifkan Borneo.

“Keputusan berhenti sebagai pensyarah di Kolej I-Systems bukanlah mudah kerana pada ketika itu tuntutan keluarga menjadi keutamaan.

“Saya meninggalkan dunia pendidikan kerana mahu fokus kepada anak-anak. Sejak itu apabila menghabiskan di rumah menjaga anak – anak, saya mula berniaga secara dalam talian,” katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.

Namun demikian, minat terhadap bidang akademik sebenarnya tidak pupus sepenuhnya dalam kamus hidupnya.

Ini kerana beliau juga sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran bidang keusahawanan di Univeristi Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pelitup muka dan beg bermotif Borneo antara produk Rowena yang mendapat sambutan daripada pelanggannya.

Akuinya, pendidikan dapat mengubah taraf kehidupan seterusnya mampu menjana pendapatan melalui bakat yang ada.

“Oleh kerana mempunyai minat mendalam terhadap bidang fesyen dan mempunyai kebolehan menjahit, saya teruskan langkah kerana melihat potensi bidang ini,”katanya.

Mengimbas kembali detik awal bergelar online seller, Rowena berkata, dia hanya bermula di rumah kerana tidak mempunyai kedai.

“Ruang terhad di rumah tidak menjadi halangan saya untuk menghasilkan lebih 20 produk antaranya pakaian, beg dan barang perhiasan yang bermotifkan Borneo.

“Saya juga tidak mempunyai agen jualan malah orang tidak kenal jenama saya tetapi semua itu tidak melemahkan semangat saya,”katanya.

Di sebalik kepayahan itu, usaha wanita ini membuahkan hasil apabila produk dihasilkannya ‘terbang’ ke luar negara.

Katanya, kegigihan membuat promosi secara dalam talian menyebabkan produknya berjaya memikat pelanggan dari Singapura, Brunei, Amerika Syarikat, United Kingdom, Pakistan dan Afghanistan.

Setiap produknya mempunyai identiti Borneo yang cukup kuat sehingga berjaya menarik perhatian pelanggan di luar negara.

Ditanya cabaran yang dihadapinya sejak mula bergelar usahawan online, Rowena berkata, beliau tidak dapat ‘lari’ daripada dipandang serong oleh segelintir masyarakat.

“Ada yang tanya kenapa tidak sambung mengajar kerana mempunyai pendapatan yang terjamin.

“Saya cuma jawab, kehidupan setiap orang berbeza , ada yang memilih jalan A, jalan B namun saya selesa dengan keputusan yang telah dibuat,”katanya.

Berkongsi pengalaman berniaga pada zaman pandemik pula, Rowena berkata, pada mulanya beliau turut risau memikirkan produknya mungkin tidak mendapat sambutan kerana ‘lockdown’ menyebabkan orang ramai lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“Bagaimanapun gangguan yang dibawa oleh virus berkenaan boleh ditukar kepada peluang untuk meraih sesuatu buat jenama saya.

“Maka, terhasilkan pelitup muka yang bermotifkan Borneo yang sehingga kini terjual melebihi 5,000 keping,”katanya.

Ketika ditanya sejauh mana beliau yakin untuk ‘meluncur laju’ dalam perniagaan barangan bermotifkan Borneo itu, wanita ini tersenyum sebelum menyusun bait- bait perkataan.

“Sekarang saya melihat wujud permintaan untuk produk yang dihasilkan. Saya buat promosi menggunakan media sosial seperti Facebook dan mendapat sambutan yang sangat baik,”katanya.

Katanya ketika ini laman Facebook perniagaannya juga sudah mempunyai hampir 40 000 pengikut dan tempahan juga ‘tidak putus’.

“Maksudnya produk saya sudah mula diterima namun tidak boleh cepat berpuas hati, kena usaha gigih lagi kerana saya percaya kesabaran dan sikap tidak mudah berputus asas akan memberikan hasil yang lumayan suatu hari nanti,”katanya.-TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found