KUCHING, 16 April : Sarawak United FC (SUFC) menyedari bakal berdepan tugas sukar ketika menerima kunjungan Terengganu FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri malam esok.
Ketua Jurulatihnya, B. Sathianathan berkata, ini berikutan skuad Ngap Sayot terus ‘diuji’ apabila tiga pemainnya iaitu Lee Chang Hoon, Boris Kok dan Norman Angkun dijangkiti COVID-19.
“Kemudiannya pemain tengah, Stuart Wark pula mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi, namun kami akan tetap berdepan mereka (Terengganu FC),” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Tamat empat aksi awal liga, SUFC yang baharu ‘naik pangkat’ ke Liga Premier masih buntu kemenangan apabila sekadar mencatatkan satu keputusan seri dan tiga kekalahan.
Terbaharu, pada perlawanan keempat yang merupakan Borneo Derby minggu lalu, mereka tidak bernasib baik apabila tewas 0-1 kepada Sabah FC.
Di sebalik perkembangan itu, Sathianathan berkata, beliau tidak begitu bimbang kerana masih boleh memberi peluang kepada beberapa pemain muda tempatan yang berpotensi.
“Saya nampak pemain-pemain Sarawak apabila diberi peluang , mereka akan melakukan yang terbaik,”katanya.
Mengenai tetamu Pantai Timur yang bakal ditentang oleh anak buahnya esok, Sathianathan berkata, pertemuan itu bukan tugas mudah kerana pasukan Penyu mempunyai rekod yang baik.
Sarawak dijangka akan menurunkan Uche Agba bagi menggantikan Francis Kone sebagai penyerang utama yang dikhabarkan masih belum pulih akibat kecederaan pada perlawanan minggu lepas. -TVS