Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Harga tiket turun
Harga tiket turun

Aspirasi kerajaan turunkan harga tiket kapal terbang ke Sabah, Sarawak

ISKANDAR PUTERI ,16 April : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu adalah menjadi aspirasi kerajaan untuk menurunkan kadar tambang tiket kapal terbang antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, khususnya pada musim perayaan.

Ka Siong berkata, walaupun memahami alasan kenaikan harga tiket berdasarkan perspektif syarikat penerbangan, namun kerajaan juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat.

Sehubungan itu katanya, syarikat penerbangan diminta mencari kaedah terbaik untuk memastikan harga tiket kapal terbang bagi laluan berkenaan diturunkan.

“Apa yang kita lakukan ialah minta syarikat penerbangan untuk turunkan harga tiket, kerana ini adalah aspirasi kerajaan.

“Kita faham perang antara Rusia dan Ukraine memberi kesan kenaikan harga minyak, tetapi kita perlu lihat dalam konteks Malaysia di mana satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak adalah menerusi kapal terbang,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sini malam tadi.

Sebelum ini, laporan media menyebut pemantauan terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April hingga 8 Mei).

Baca > > > Harga tiket melambung sehingga 566%, bebankan warga Sabah, Sarawak sambut Aidilfitri

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan mengambil maklum pandangan diutarakan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak berhubung isu berkenaan dan kerajaan serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita akan lihat beberapa formula yang dicadangkan, syarikat penerbangan terpaksa cari kaedah sama ada tambah frekuensi pesawat atau batalkan penerbangan di laluan lain, semua ini perlu dilihat secara total.

“Secara ringkasnya, kerajaan dan Kementerian Pengangkutan serius untuk mendapatkan keputusan yang betul membantu rakyat pulang khususnya pada musim perayaan,” ujarnya.

Tambah Ka Siong lagi, pihaknya telah mempengerusikan satu mesyuarat khas melibatkan semua pemegang taruh antaranya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan juga tiga syarikat penerbangan domestik iaitu Malaysia Airlines, Air Asia dan juga Malindo Air, Khamis lalu.

“Setelah laporan dilengkapkan dan perbincangan dimuktamad, saya akan salurkan perkara itu kepada Perdana Menteri,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan