Kredit: usuazza69
KUCHING, 15 April : Sejak semalam tular di media sosial mengenai kejadian vandalisme yang berlaku di kolam air pancut Waterfront di sini.
Perbuatan tidak bertanggungjawab ‘suspek’ melibatkan tindakan menuang sabun ke dalam kolam hiasan sehingga dipenuhi buih tebal.
Video berdurasi 14 saat di TikTok itu mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan majoriti meluahkan rasa geram.
“Ini kes bodoh. Habis tempat ini. Habislah Waterfront. Diletaknya buih-buih,” kata suara dalam video berkenaan.
Tiada individu lain kelihatan dalam video itu.
Seorang pengguna TikTok, Nur Ichika mendakwa, perbuatan itu dilakukan akibat terpengaruh dengan aksi di TikTok.
“Dia tiru orang putih, itu yang letak sabun di sana,” tulisnya pada ruangan komen video tersebut.
Sebelum ini, satu kejadian serupa berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kluang, Johor.
Lapan remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah ditahan susulan kes khianat menuang dua tong cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di Kluang Parade pada 20 Mac lalu. – TVS