KUALA LUMPUR, 14 April : Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membuat beberapa ketetapan lain iaitu pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkannya mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.
“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Ahmad berkata Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei depan bagi meminda Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti malah pada tarikh berkenaan turut akan berlangsung sambutan Hari UMNO serta jamuan Hari Raya Aidilfitri. -TVS