Kredit: Tangkapan layar dari video Reuters
NEW YORK 14 April : Pihak berkuasa semalam berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki melepaskan bom asap dan menembak 10 orang penumpang dalam kereta api bawah tanah kawasan metropolitan ini, lapor The Washington Post.
Polis memberkas suspek, Frank James, di East Village di Manhattan selepas 30 jam dia melakukan serangan bersenjata itu.
Menurut polis, James ditahan berdasarkan maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian yang mencederakan 23 orang itu.
Namun, Associated Press dan CNN melaporkan suspek sendiri yang memberi maklumat kepada polis tentang lokasinya.
Pesuruhjaya Polis, Keechant Sewell berkata, James mempunyai sembilan rekod tangkapan sebelum ini di New York dan tiga di New Jersey.
“Jika disabitkan kesalahan berhubung kes di stesen kereta api bawah tanah itu, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup,” katanya dalam sidang media.
James, 62, melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol separa automatik yang kemudiannya ditemui di tempat kejadian, bersama tiga majalah peluru lanjutan, kapak, beberapa mercun dan petrol, kata polis.
Pihak berkuasa memberitahu siasatan sedang diteruskan untuk mengenal pasti motif tindakan itu.
Sebahagian tumpuan siasatan adalah pada mesej dan video yang dimuat naik oleh suspek di media sosial.
Jabatan Polis New York berkata, James yang mempunyai alamat di Philadelphia dan Milwaukee, Wisconsin, meninggalkan kunci van U-Haul yang disewa di tempat kejadian di stesen 36th Street di Brooklyn. – TVS