Kredit: Faitullah Morni/TVS
KUCHING, 14 April : Sebuah rumah di Jalan Satok, di sini terbakar dua kali dalam tempoh 12 jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, Timbalan Penguasa Bomba II Tan Min Chai berkata, kebakaran pertama berlaku pada pukul 1 pagi tadi yang melibatkan sebuah bilik tidur.
Katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa kerana ketika kejadian penghuninya tiada di rumah.
“Bomba berjaya mengawal api pada pukul 2.30 pagi.
“Rumah itu musnah sekitar 30 peratus,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, kebakaran kedua pula dilaporkan pada pukul 12.15 tengah hari tadi dan ia turut merebak ke rumah sebelah yang mengalami kemusnahan kira – kira 20 peratus pada tingkat atas.
Tiada sebarang kemalangan jiwa susulan daripada kebakaran itu. – TVS