Kredit foto : Pejabat Premier Sarawak
KUCHING, 14 April : Seramai 125 individu menerima sumbangan berjumlah RM12,500 daripada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sempena Majlis Iftar Ramadan Darul Hana 2022 semalam.
Penyerahan itu dilakukan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) daripada 12 kampung di bawah projek Darul Hana.
Menurut Ketua Kampung Sourabaya Ulu, Nazri Abdul Rahman ,setiap kampung diwakili oleh 10 penerima.
Majlis berbuka puasa tahunan anjuran LCDA itu adalah untuk meraikan dan membantu golongan yang memerlukan semasa bulan Ramadan dan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Ianya juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan hubungan baik di antara agensi-agensi dan pihak yang terlibat dalam projek pembangunan Darul Hana.
Seramai 580 tetamu hadir bagi memeriahkan majlis berbuka puasa itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain. -TVS