Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

100 individu di Sarawak tidak tuntut surat kelulusan kewarganegaraan

ByFebbright James

KUCHING, 14 April : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan ‘menjejaki’ 100 individu di negeri ini yang masih belum menuntut surat kelulusan kewarganegaraan mereka daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam tempoh terdekat bersama Pegawai Daerah dan Ketua Kaum untuk mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengesan pemohon yang ‘hilang’ ini.

Menurut Fatimah, kementeriannya baru – baru ini dimaklumkan oleh KDN mengenai perkembangan berkaitan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan pemohon mendapat dokumen kewarganegaraan mereka yang telah diluluskan.

“Oleh itu, kita telah meminta alamat daripada KDN untuk menjejaki kesemua individu ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Mohammad Razi Sitam.

Fatimah berkata, pihaknya serius mahu mengatasi masalah ini kerana proses permohonan kewarganegaraan adalah sangat sukar.

“Sayang kalau tidak dituntut kerana proses ini (mohon kewarganegaraan) merupakan sebuah penantian yang panjang,”katanya.

Ditanya mengenai punca berlakunya perkara ini, Fatimah mengakui berdepan kesukaran untuk mengesan penduduk terutamanya yang tinggal di Rumah Panjang.

“Ini termasuklah nama Ketua Kampung atau Tuai Rumah mungkin telah bertukar namun kita akan aturkan program untuk menjejaki mereka ini,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan