JELI, 13 April : Tiga remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Jalan Kampung Sungai Satan-Jalan Malaysia, di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Supt Shuhaimi Jusoh berkata Muhammad Nordanial Izuan Izaraman, 15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhamad Firdaus Mohd Azli, 15, dan Ahmad Tahfiz Irfan Ahmad Nasri, 14, meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Jeli.
Beliau berkata kejadian turut menyebabkan seorang lagi remaja lelaki, Muhammad Aidid Darwisy Mohammad Azhary, 15, cedera parah di kepala dan dirawat di hospital sama.
“Kejadian berlaku pada 9 malam, ketika kejadian keempat-empat remaja terbabit dipercayai sedang berlumba di kawasan jalan kampung sebelum bergesel sesama sendiri menyebabkan berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shuhaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS