KUCHING, 13 April : Malaysian Palm Oil Green Conservation (MPOGCF) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bakal bekerjasama dalam projek khas bagi mewujudkan suasana kehidupan harmoni antara manusia dan buaya.
Menurut kenyataan di laman Facebook MPOGCF, projek dengan pembiayaan hampir RM1.5 juta tersebut melibatkan kawasan lembangan yang merangkumi 10 sungai utama di Sarawak iaitu Kayan, Samarahan, Sadong, Lupar, Rajang, Saribas, Krian, Suai, Baram dan Lawa.
Organisasi pemuliharaan alam sekitar itu menjelaskan, projek ini akan melibatkan kajian-kajian populasi buaya oleh pakar-pakar dari SFC selain meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan diri.
“Projek ini melibatkan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk tidak mengganggu habitat buaya atau mendedahkan risiko bahaya melalui kempen-kempen kesedaran termasuk pekerja di ladang sawit, di samping memindahkan spesies reptilia itu ke kawasan lain jika didapati tidak lagi sesuai berada di kawasan tersebut kerana membahayakan penduduk setempat dan haiwan itu sendiri,” katanya.
Baca > > > Operasi tangkap buaya ‘gergasi’ di Sungai Igan ada permit – SFC
Baca > > > Dua ekor lagi buaya sungai Igan berjaya ditangkap
Di Sarawak, konflik manusia-buaya banyak berlaku kerana populasi buaya yang semakin bertambah.
Konflik tersebut turut berlaku di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak berdekatan habitat haiwan reptilia itu yang boleh mengancam pekerja-pekerja ladang sekali gus menganggu operasi ladang sawit.
Walaupun buaya dibenarkan ditangkap atau diburu untuk tujuan perdagangan di peringkat domestik atau antarabangsa, namun permit CITES dan lesen daripada Kontroler Hidupan Liar Sarawak perlu didapati. – TVS