Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Proses keluar, masuk laluan ICQS Tebedu tetapkan 5 hentian wajib Kredit: Zaim Zharfan/TVS

Patuhi protokol kesihatan dan undang – undang di lima hentian wajib ICQS Tebedu

ByOdleen Catherny

SERIAN, 13 April : Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tebedu menempatkan lima hentian wajib untuk tujuan pendaftaran dan saringan kemasukan serta pelepasan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sejak beroperasi pada 1 April lalu, Sarawak telah menerima seramai 463 ketibaan pengunjung.

“Dalam tempoh berkenaan, kita telah merekodkan sebanyak 1,074 pelepasan iaitu rakyat kita yang pergi ke sebelah sana.

“Saya difahamkan, sehingga kini proses berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ICQS Tebedu di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak sedaya upaya meminimunkan kebarangkalian jangkitan dalam kalangan pengunjung di hentian-hentian yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian katanya proses pengurusan di ICQS berkenaan ditingkatkan.

” Setakat ini, tiada masalah, namun sekiranya perlu, kita akan menambah lagi kaunter dan stesen untuk tujuan yang sama sekaligus melancarkan proses ketibaan dan pelepasan jika jumlah semakin meningkat,” jelasnya.

Operasi pendaftaran dan saringan dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bekerjasama dengan Benchmark Health, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa pihak-pihak lain yang berkaitan.

Sementara itu, menurut Pengurus ICQS Tebedu Benchmark Health, Bibiana Morse, hentian yang pertama diuruskan oleh JIM untuk memeriksa dokumen-dokumen penting antaranya status vaksinasi serta MySejahtera.

“Kemudian mereka yang masuk perlu mendaftar dan mengisi butiran dengan hanya menunjukkan pasport masing-masing serta melakukan bayaran dalam bentuk Ringgit Malaysia atau Rupiah, sebelum menjalani ujian saringan COVID-19.

“Langkah terakhir adalah mendapatkan laporan masing-masing dan setakat ini proses tidak menjangkau lebih dari 5 minit,” ujarnya lagi.

Mereka yang didapati positif COVID-19 akan diasingkan dari individu yang lain.

“Untuk rakyat tempatan, mereka digalakkan untuk menjalani tempoh di rumah sendiri atau keluarga masing-masing.

“Manakala, bukan warganegara akan disediakan tempat kuarantin namun itu bergantung kerana ada antaranya akan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, ICQS Tebedu menerima sekurang-kurangnya 50 ketibaan dalam sehari.

Kaunter pendaftaran dan stesen saringan beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang waktu Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan