TAWAU, 12 April: Lelaki warga emas terbunuh selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Kuhara berhampiran susur keluar ke Jalan Melati di sini.
Dalam kejadian pukul 11.59 pagi itu, mangsa yang berusia 65 tahun berstatus bukan warganegara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin dalam kenyataannya berkata, ketika kejadian, pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita sedang dalam perjalanan menuju ke Jalan Chong Thien Vun.
Tambahnya, ketika menghampiri susur keluar menghala ke Jalan Melati, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba keluar dari arah sebelah kanan.
“Pemandu cuba membrek namun akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu telah melanggar motosikal mangsa dan menyebabkannya terseret sejauh kira-kira tiga meter,” katanya.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal turut mendapati penunggang motosikal tidak memiliki lesen memandu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS