SIBU, 12 April: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan oleh mahkamah sesyen selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol gadis bawah umur.
Tertuduh, Kilat Sasing, 60, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi tiga pertuduhan itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh dalam pertuduhan pertama, merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun dan empat bulan di rumah panjang mereka di Sungai Apong, antara pukul 1 petang hingga 3 petang pada November 2021.
Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan yang sama pada Disember tahun itu di tempat yang sama.
Mangsa merupakan pemegang kad orang kurang upaya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak 2016 dan dikategorikan dalam golongan seorang yang lambat belajar.
Insiden itu mula disedari oleh ibu mangsa, 30, apabila melihat mangsa hilang selera makan dan sering muntah kira-kira pukul 7 malam pada 7 Mac 2022.
Curiga dengan tingkah laku anaknnya, ibu mangsa membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan mendapati ujian kehamilan kembali positif.
Susulan laporan polis yang dibuat, polis telah berjaya menahan tertuduh kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 1 April 2022.
Dalam mitigasi di hadapan hakim Marutin Pagan, tertuduh merayu untuk hukumannya diringankan dengan mengatakan bahawa dia menyesal atas kesalahan itu dan dia juga berkata bahawa dia mengalami tekanan darah tinggi dan diabetes serta memerlukan nasihat doktor dan pengambilan ubat yang konsisten.
Malah, anak-anaknya tertuduh juga tidak bekerja dan isterinya juga menghidap ketumbuhan otak.
Timbalan Pendakwa Raya, Heng Yi Min mendesak agar hukuman yang setimpal dijatuhkan dengan berkata tertuduh yang merupakan jiran mangsa telah menyalahgunakan kepercayaannya dengan mengambil kesempatan untuk merogol mangsa.
Sementara itu, dalam pertuduhan yang berasingan, seorang lagi lelaki iaitu tertuduh kes rogol yang juga melibatkan gadis bawah umur, Yong Ji Fu, 30, telah dilanjutkan perintah reman selama dua hari sehingga 14 April. – TVS