KUCHING, 12 April: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengesahkan empat korban terbaharu di negeri ini akibat jangkitan COVID-19.
Menurut JPBN Sarawak, kes kematian pertama direkodkan pada 16 Mac 2022 melibatkan wanita berusia 61 tahun di Betong yang mempunyai latar belakang penyakit ko-morbid.
Kes kematian yang direkodkan pada 8 April 2022 di Hospital Sri Aman yang melibatkan lelaki berusia 83 tahun mempunyai latar belakang penyakit dislipidemia dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.
Sementara itu, bagi dua kematian yang direkodkan pada 9 April 2022, ia membabitkan seorang wanita berusia 73 tahun dari Sibu dan seorang wanita berusia 67 tahun dari Sarikei.
Kedua-dua kes mempunyai latar belakang penyakit ko-morbid.
Dalam pada itu, Sarawak merekodkan 245 kes baharu COVID-19 sekali gus menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 302,880 kes.
Perkembangan jangkitan itu juga menyaksikan Kuching kekal mencatatkan kes tertinggi sebanyak 65 kes dan diikuti Miri dengan 35 kes.
Sementara 10 lagi daerah antaranya Telang Usang, Selangau dan Simunjan tidak mencatatkan sebarang kes. – TVS