NEW YORK, 12 April: Orang ramai termasuk pelancong panik dan bertempiaran lari selepas mendengar dentuman kuat di Times Square New York pada malam Ahad, lapor Newsweek.
Video yang tular di ruang media sosial menunjukkan orang ramai berlari selepas mendengar bunyi letupan yang kuat dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan.
Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY) mengesahkan bahawa letupan itu adalah akibat letupan lurang kumbahan, manakala dua lurang lain dipenuhi asap.
Sementara itu, syarikat tenaga, Con Edison dalam satu kenyataan berkata, letupan itu berpunca daripada kegagalan kabel.
“Buat masa ini, tiada pelanggan mengalami gangguan, dan tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan. Krew kami masih berada di lokasi,” jelas kenyataan tersebut. – TVS