KUCHING, 11 April: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias berada dalam keadaan stabil selepas terlibat dalam perlanggaran ketika perlawanan dengan Terengganu FC (TFC) malam Ahad.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers, Farizal yang cedera di bahagian kepala menerima lawatan Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di sebuah pusat perubatan.
“Farizal berada dalam keadaan stabil tetapi akan kekal dalam pemerhatian dan akan menjalani beberapa ujian perubatan.
“Seluruh keluarga JDT mendoakan agar Farizal sembuh dengan segera. Semoga lekas sembuh, Farizal,” katanya.
Farizal dikejarkan ke hospital selepas insiden perlanggaran dengan Shane Lowry pada minit ke-60 permainan.
Ketika kejadian Lowry secara tidak sengaja bertembung dengan Farizal ketika cuba menyelamatkan bola yang dihantar oleh pemain TFC di dalam kotak penalti.