KUCHING, 12 April: Kerajaan sentiasa berkomunikasi dengan syarikat penerbangan berkaitan isu semasa termasuk harga tambang penerbangan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, situasi menang-menang perlu ada antara kedua pihak terutamanya dalam hal melibatkan tambang penerbangan pada musim perayaan.
“Kerajaan negeri melihat isu ini secara mendalam dengan sentiasa melakukan rundingan dengan syarikat penerbangan oleh kerana tidak mahu orang awam terbeban dengan isu tesebut.
“Sebarang penyelesaian haruslah tidak merugikan mana -mana pihak,” katanya.
Baca >>> Harga tiket melambung sehingga 566%, bebankan warga Sabah, Sarawak sambut Aidilfitri
Baca >>> Gesa syarikat penerbangan kurangkan harga tiket – Fazzrudin
Beliau ditemui selepas majlis menyambut ketibaan pesawat Firefly Boeing 737-800 bagi penerbangan Pulau Pinang-Kuching yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini semalam.
Pesawat yang membawa seramai 98 penumpang itu disambut dengan pancuran air bagi menandakan penerbangan pertama Firefly ke Kuching semenjak pandemik Covid-19 melanda negara.
Tambahnya orang ramai disarankan supaya melakukan tempahan awal bagi mengelakkan harga yang mahal dan pada masa yang sama sebagai persiapan, kerajaan dalam usaha memohon pernambahan kekerapan penerbangan ke destinasi yang mempunyai pemintaan yang tinggi.
“Sebagai contoh apabila menjelang perayaan Hari Gawai, kita tambah kekerapan penerbangan dari Johor Bahru ke Kuching sebab kita tahu di Johor Bahru memang penuh dengan orang Sarawak.” katanya.
Sementara itu, beliau mengumumkan syarikat penerbangan Firefly telah mula beroperasi laluan baru Kuching-Pulau Pinang dan Pulau Pinang-Kuching pada semalam.-TVS