KUCHING, 11 April : Kemasukan pelancong ke Sarawak dijangka akan terus meningkat dengan anggaran purata sebulan seramai 76,550 kemasukan dan angka tersebut dijangka mencapai 1.5 juta pelancong menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata sasaran tersebut ditetapkan sedemikian selepas melihat trend peningkatan terkini pengunjung memasuki negeri ini sejak Januari lalu.
“Peningkatan itu adalah sangat besar iaitu 593.20 peratus berbanding tahun lepas 2021, pada Januari sehingga Mac 2022 menunjukkan peningkatan hampir 600 peratus yang mana 229,678 orang pengunjung direkodkan memasuki Sarawak,” katanya.
Baca >>> RM77 bilion pendapatan pelancongan antarabangsa pada 2025 – Nancy
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelancongan Negeri Sarawak di Imperial Hotel di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Sarawak Convention Bureau, Datuk Abang ABdul Karim Tun Datuk Abang Openg, serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Hii Chang Kee.
Mesyuarat yang diadakan untuk membincangkan perkembangan ekonomi industri pelancongan di negeri ini yang diadakan pertama kali secara fizikal setelah dua tahun tidak dapat diadakan susulan pendemik COVID-19.
Sementara itu, kementerian katanya turut mensasarkan sebanyak RM1.2 juta pelancong yang akan masuk ke negeri ini bagi merancakkan lagi ekonomi pelancongan di Sarawak.
“Sasaran kita 1.2 juta pengunjung untuk tahun ini sepatutnya boleh dicapai dan boleh dinaikkan kepada 1.5 juta pengunjung sebab sempadan kita sudah dibuka,
“Sebagai contohnya, 1 April 2022 bilangan orang yang masuk telah meningkat beberapa hari lepas kerana saya dapati penerbangan yang datang dari Kuala Lumpur agak padat bukan sahaja ke Kuching malah ke Miri dan Sibu” katanya lagi.
Tambahnya dengan pembukaan sempadan Biawak-Lundu turut akan merancakkan lagi pergerakkan keluar masuk ke negeri ini.- TVS