SEREMBAN, 12 April : Seorang doktor berputih mata apabila kerugian RM173,888.74 akibat ditipu dalam penawaran kerja sambilan menerusi media sosial Instagram di Port Dickson, pada Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata wanita berusia 29 tahun itu berurusan dengan individu dikenali sebagai ‘June’, yang menawarkan pekerjaan pemasaran digital menerusi laman web beli-belah secara dalam talian.
Beliau berkata mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki bernama Alex yang memintanya membuat pembelian barangan di laman web tersebut dan akan menerima komisen bagi setiap pembelian.
“Tugasan pertama wanita itu adalah membuat pembelian barang berjumlah RM99 dan telah menerima komisen sebanyak 10 peratus daripada modal yang dibuat.
“Mangsa kemudian diminta membuat pembelian barangan seterusnya dan telah melakukan tujuh transaksi bank tempatan yang keseluruhan berjumlah RM173,888.74 pada keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Jelasnya, doktor tersebut dijanjikan menerima komisen ke atas pembelian barangan tersebut yang selesai semalam, namun dia menyedari ditipu setelah diminta membuat pembayaran untuk perlindungan diri sebanyak RM74,872.41 bagi menebus modal dan komisen yang dijanjikan tersebut.
Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS