KUCHING, 10 April : Kesatuan Pelajar Sekolah Alternatif Semporna telah menjalankan satu program “Kelas Pemulihan Gam” di mana ia mensasarkan kanak-kanak di daerah Semporna yang terjebak dalam kegiatan menghidu gam.
Menurut Setiausaha Kesatuan Pelajar Sekolah Alternatif, Shamaikah, kelas tersebut memfokuskan kepada pendidikan bagi mencegah sekali gus membanteras kegiatan tersebut dalam kalangan kanak -kanak setempat.
“Kami bukan sahaja akan mendidik mereka mengenai keburukan kegiatan menghidu gam, malah kami turut memberikan pendidikan asas seperti ‘A,B,C’ dan ‘1,2,3’,
“Dengan pendidikan ini, kami berharap mereka dapat meninggalkan kegiatan itu dan fokus kepada pelajaran yang diberikan.” katanya dalam sebuah video yang dikongsikan di akaun Twitter rasmi Borneo Komrad.
Dalam pada itu selain mengajar mereka yang terlibat dalam kegiatan menghidu gam, sekolah tersebut turut mengajar kanak-kanak jalanan di sekitar daerah tersebut.
Berteraskan 3M iaitu menulis, membaca dan mengira, Sekolah Alternatif Semporna dibina bagi mengurangkan jumlah golongan buta huruf di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.
Sekolah tersebut dibangunkan dengan kerjasama Borneo Komrad dan Teach For The Needs (TFTN) Malaysia pada tahun 2017, manakala di pertengahan tahun 2018, Sekolah Alternatif Semporna tersebut dibangunkan di rumah kolektif Borneo Komrad Semporna.
Borneo Komrad merupakan satu organisasi inisiatif mahasiswa yang memberi fokus kepada membangunkan pendidikan, kebudayaan dan memperjuangkan hak asasi remaja dan belia. – TVS