KUCHING, 10 April : Lima kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 sebanyak 1,713 di Sarawak.
Sementara itu, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah kes baharu mencatatkan sedikit penurunan kepada 224 kes berbanding 350 kes semalam.
Hanya tujuh kes baharu COVID-19 berada dalam kategori tiga, empat dan lima pada hari ini.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif 302,457 kes sejak pandemik melanda negeri ini,” jelas JPBN menerusi kenyataan media hariannya.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa berkenaan mengesahkan lima kematian baharu yang melibatkan tiga warga emas lelaki dan dua warga emas perempuan.
Kuching kekal menjadi daerah dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 67 kes baharu manakala lima belas daerah iaitu Tatau, Betong, Matu, Lawas, Tanjung Manis, Lubok Antu, Belaga, Sebauh, Song, Pakan, Daro, Selangau, Julau, Telang Usan dan Bukit Mabong sifar kes baharu. – TVS