KUALA LUMPUR, 10 April : Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bayi berusia tiga bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah di Bukit Gasing, Petaling Jaya, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia dalam lingkungan 20an itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati individu itu, yang juga bapa kepada mangsa, telah memberi susu kepada bayi lelaki tersebut pada jam 2.00 petang semalam sebelum suspek meninggalkan mangsa seorang diri untuk keluar bekerja.
“Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kembali ke rumah kira-kira dua jam kemudian dan mendapati anaknya tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata mangsa kemudian dihantar oleh bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada kira-kira jam 4.20 petang namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan bapa kanak-kanak itu ditahan reman empat hari hingga 13 April. – TVS