SIBU, 9 April: Kebimbangan seorang ibu akhirnya terubat apabila anak perempuannya yang dilaporkan hilang sejak 4 April lalu pulang dengan selamat di rumah mereka di Jalan Sentosa, di sini pada petang semalam.
Sia Kiong Hui, 35, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pulang sendiri ke rumah sekitar pukul 3.45 petang.
Pemangku ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat berkata, ibu mangsa, Sia Teck Hua, 67, telah memaklumkan kepada pihak polis di Balai Polis Lanang untuk memberitahu anaknya telah selamat pulang ke pangkuan keluarga.
Baca > > > Wanita kemurungan hilang selepas keluar rumah awal pagi
Katanya, pengadu memberitahu Kiong Hui berada dalam keadaan baik muncul di pintu rumah dengan pakaian yang sama semasa dia keluar dari rumah pada jam 4 pagi awal pagi 4 April lalu.
Susulan kepulangan Kiong Hui, anggota polis telah pergi ke rumahnya untuk bertanya mengenai keberadaannya sejak selasa lalu namun dia hanya mendiamkan diri.
Syukur dengan kepulangan anaknya, ibu mangsa tampil ke balai polis untuk menarik semula laporan mengenai kehilangan anaknya.
Collin berkata kehilangan mangsa telah dilaporkan oleh ibunya pada jam 8.15 malam Selasa lalu setelah usaha ahli keluarga mencari kiong hui di sekitar kawasan berhampiran rumah gagal.
Anak bongsu daripada empat beradik itu pernah dilaporkan hilang namun kembali semula selepas beberapa hari menghilangkan diri pada 2017.
Polis juga menasihatkan ibu mangsa supaya memantau keadaan anaknya lebih rapat memandangkan Kiong Hui merupakan pesakit mental dan pernah mendapat rawatan psikiatri. – TVS