KUALA LUMPUR, 9 April : Tiga lelaki berusia lingkungan 20-an yang menjadikan kedai serbaneka di sekitar Taman Len Seng, Cheras di sini sebagai sasaran untuk menyamun akhirnya diberkas polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Muhammad Idzham Jaafar berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang ahli kumpulan itu kawasan perumahan Bandar Sri Permaisuri pada pukul 8.30 malam.
Katanya, hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis menahan dua lagi suspek kira – kira dua jam kemudian.
“Kesemua suspek yang ditangkap berumur dalam lingkungan 21 hingga 25 tahun dan memiliki beberapa rekod jenayah lampau dan dadah,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Beliau memberitahu, polis turut merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut di mana anggaran kerugian adalah sebanyak RM 149.
“Hasil tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan lapan kes samun yang berlaku di sekitar kawasan Cheras, Kajang dan Ampang,” katanya.
Ujarnya, kesemua suspek kini telah direman enam hari untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – TVS