KUCHING, 9 April : Sarawak akan menyediakan dokumen khas sementara kepada individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tidak lama lagi.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, dokumen khas tersebut yang dibuat khusus bagi membantu golongan yang berdepan masalah kewarganegaraan akan dikeluarkan oleh Pejabat Pemier Sarawak.
Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang diadakan baru-baru ini.
“Pejabat Premier Sarawak akan mengeluarkan dokumen khas sementara untuk golongan tanpa kewarganegaraan.
“Ia bertujuan untuk memudahkan golongan berkenaan mendaftar bagi menikmati kemudahan pendidikan dan kesihatan di sekolah dan hospital kerajaan.
“Dokumen khas sementara ini dikhaskan untuk individu berusia 21 tahun ke bawah,” katanya pada sidang media khas mengenai isu kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, di sini, hari ini.
Baca > > > Sarawak mahu tangani sendiri isu kewarganegaraan – Fatimah
Baca > > > Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan diwujud semula bantu rakyat Sarawak hadapi masalah
Jelasnya lagi dokumen khas tersebut bagaimanapun tidak boleh digunakan sebagai janji dari pihak kerajaan dalam mendapatkan status kewarganegaraan.
“Kuasa mutlak untuk mengesahkan status kewarganegaraan individu di negara ini masih lagi terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Sarawak berfungsi dalam kuasa yang ada pada negeri dengan mengusahakan mengeluarkan dokumen khas sementara bagi membantu golongan berkenaan,” jelasnya.
Tambahnya, mereka yang sudah memiliki dokumen khas sementara itu nanti, masih perlu menjalani proses untuk mendapatkan status kewarganegaraan sebelum tamat sekolah menengah.
” Jadi dokumen khas sementara ini akan membolehkan individu memasuki pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah,
” Bagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas pula mereka perlu melalui proses yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).” jelasnya. – TVS