KUCHING, 9 APRIL: Sarawak United FC (SUFC) bercadang untuk menghantar surat bantahan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan badan induk tersebut.
Demikian kata ketua jurulatih SUFC B. Satiananthan yang meluahkan kekecewaan terhadap prestasi pengadilan FAM membabitkan perlawanan pasukan Kenyalang Emas menentang Penang FC baru-baru ini.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan SUFC untuk menulis satu surat bagi membantah sesetengah keputusan pengadil.
“Kita kecewa bukan sebab kita kalah, tetapi jika prestasi pengadilan berada pada tahap yang baik ia mampu memberikan keputusan positif untuk pasukan kita ”, katanya ketika dihubungi TVS pada Sabtu.
Dalam perlawanan tersebut larian pemain import SUFC kelahiran Korea Selatan, Lee Chang Hoon dinafikan oleh penjaga garisan selepas menerima lorongan cantik daripada pemain sayap SUFC, Gopi Rizki.
Menurut Satiananthan larian tersebut boleh menghasilkan jaringan gol untuk pasukannya, sekaligus membolehkan SUFC meraih kemenangan pertama Liga Super untuk musim ini.
“Tular gambar dan video di media sosial bahawa Lee memang tidak ‘Offside’, ujar Satiananthan dengan kecewa.” katanya.
Tambah Satiananthan ketika ini surat tersebut telahpun disediakan oleh pihak pengurusan selain hanya mampu menunggu ianya ditandatangani oleh Presiden SUFC.
“Walaupun kemungkinan besar surat bantahan itu tidak mengubah keputusan, setidaknya mampu meningkatkan lagi mutu pengadilan bola sepak kita pada masa akan datang”, tambah Satiananthan.
SUFC dijadual akan turun menentang Sabah FC di Stadium Negeri, Kuching esok. – TVS