MUKAH, 9 April : Seorang mekanik ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah pekerja di sini pada pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias serbuan dilakukan di sebuah rumah pekerja di sebuah bengkel yang terletak di Jalan Bedanga Ulu, Mukah sekitar pukul 10.30 pagi.
“Sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang berada di dalam bilik pekerja tersebut kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan tubuh badan subjek tiada menjumpai apa-apa barang kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun pemeriksaan lanjut dibuat di dalam bilik tersebut telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 0.32 gram (nilai anggaran RM50) di atas meja kayu di dalam bilik tersebut.
Kesemua barang tersebut dirampas untuk dijadikan barang kes dan lelaki berusia 39 tahun itu kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal ke atas suspek turut mendapati suspek terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal Januari tahun 2021 sehingga sekarang.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama iaitu boleh dipenjarakan selama tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih dari RM100,000 atau kedua-duanya sekali. – TVS