KUCHING, 9 April: Hanya satu kes baharu COVID-19 yang berada dalam kategori tiga, empat dan lima hari ini.
Sementara itu, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah kes baharu mencatatkan sedikit penurunan kepada 350 kes berbanding dengan 385 kes semalam.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif 302, 233 kes sejak pandemik melanda negeri ini,” jelas JPBN menerusi kenyataan media hari ini.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa berkenaan turut mengesahkan dua kematian baharu yang melibatkan seorang warga emas di Hospital Miri dan seorang lelaki berumur 48 tahun di Hospital Sibu.
Kuching kekal menjadi daerah dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 113 kes baharu manakala tujuh daerah iaitu Daro, Meradong, Selangau, Julau, Kanowit, Telang Usan dan Bukit Mabong sifar kes baharu. – TVS