MIRI, 8 April : Seorang warga emas yang sedang memandu kereta berdepan detik cemas apabila kenderaannya ditembak secara tiba – tiba semalam.
Dalam kejadian kira – kira pukul 1.45 petang itu, lelaki berusia 62 tahun itu terdengar bunyi tembakan yang disyaki dilepaskan dari sebuah kereta Perodua yang dipandu seorang lelaki tidak dikenali ketika berada berhampiran lampu isyarat Permyjaya di sini.
Sehubungan itu satu laporan polis dibuat semalam oleh mangsa yang bimbang keselamatan dirinya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Mohd. Sabri Zainol ketika dihubungi memaklumkan polis telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki terlibat dengan kejadian itu.
Katanya suspek ditahan pada pukul 10.30 malam tadi di sebuah rumah di Hillstone Garden.
“Polis turut merampas sepucuk pistol dan 45 butir peluru plastik manakala suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut,”katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. -TVS