MERSING, 8 April : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menggerakkan pesawat Bombardier CL 415 MP bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol di sini.
Ini merupakan kali pertama APMM menggunakan pesawat itu, yang mampu terbang rendah dan berlegar lebih lama, untuk operasi SAR di Johor dengan diketuai Leftenan Komander Maritim Kapten Sulaiman Tulot.
Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata selain Bombardier serta dua helikopter agensi itu dan Polis Diraja Malaysia yang digunakan semalam, Tentera Udara Diraja Malaysia turut menghulurkan bantuan dengan menghantar pesawat B200T.
“Sudah masuk tiga hari mangsa itu hilang. Bagaimanapun, kita tidak berputus asa dan berharap agar kesemua mereka dapat diselamatkan.
“Dengan penggunaan empat pesawat ini, jangkauannya lebih jauh dan kemungkinan untuk menemui mangsa adalah lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing hari ini.
Beliau berkata pesawat itu, yang melakukan carian di kawasan seluas 739.64 batu nautika, juga melihat isyarat kecemasan yang mungkin digunakan oleh penyelam terbabit jika mereka hanyut ke arah mana-mana sembilan pulau kecil di sekitar selatan Pulau Tokong Sanggol.
“Aset udara ini akan terbang di pulau-pulau dan mengawasi sekiranya ada sebarang tanda kemungkinan mangsa akan buat tanda atau isyarat tertentu untuk diselamatkan. Jadi kemungkinan itu kita ambil kira juga.
“Komuniti setempat di pulau-pulau di Mersing juga telah dimaklumkan menerusi kumpulan WhatsApp dan Telegram supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling di persekitaran mereka dan maklumkan pada kita kalau ada maklumat mengenai mangsa,” katanya.
Operasi hari ini, yang bermula seawal 3 pagi, turut membabitkan 11 bot pelbagai agensi dan 10 jetski orang awam meliputi pencarian di kawasan seluas 335.79 batu nautika.
Ia akan tertumpu kepada usaha mencari Adrian Peter Chesters, 46, (warga British) dan anak lelakinya Nathen Renze Chesters, 14, (warga Belanda) serta warga Perancis Alexia Alexandra Molina, 18.
Semalam, penyelam Norway Kristine Grodem, 36, ditemukan selamat dalam keadaan terapung lengkap dengan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi di perairan Tanjung Sedili di Kota Tinggi, kira-kira 30 batu nautika dari lokasi terakhir beliau dilihat. – TVS