KUCHING, 8 April : Seni rekaan bermotifkan Borneo di Sarawak telah mengalami transformasi dan dilihat terus berkembang.
Ini termasuklah penghasilkan tikar Iban yang menggunakan corak Burung Kenyalang yang menjadi identiti masyarakat pribumi di negeri ini.
Langkah berkenaan sekaligus menonjolkan keunikan seni anyaman dan industri fesyen yang sering mendambakan trend terkini.
Bekas Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Anna Durin berkata, selari dengan teknologi semasa, ramai penganyam di Sarawak kini semakin kreatif dan berani menyuntik inovasi terhadap rekaan mereka.
Katanya, jika dahulu tikar bemban hanya berfungsi sebagai alas duduk, alas bilik tidur dan upacara ritual tetapi kini fungsinya dipelbagaikan termasuk menghasilkan produk yang kaya dengan nilai estetika sekaligus menyerikan lagi hiasan.
“Saya bangga dengan perubahan ini kerana dahulu orang Iban menganyam tikar menggunakan tali plastik sekitar tahun 1990-an tetapi kini ia telah dipelbagaikan menerusi penghasilan corak yang cantik dan terus berkembang,”katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.
Seiring peredaran zaman, Anna berkata, dia juga melihat penggiat industri bergiat aktif dalam media sosial untuk mempromosikan produk mereka sekaligus menjana pendapatan.
Anna berkata beliau juga ‘mengesan’ usahawan produk beridentiti Sarawak ‘bersatu’ dalam pelbagaiu platform untuk berkongsi ilmu dan mengembangkan lagi perniagaan masing – masing.
“Dahulu hanya terhad kepada tikar sahaja tetapi kini berkembang kepada produk lain seperti beg dan sebagainya namun masih terdapat ruang untuk memperbaiki penghasilan produk mereka,”katanya.
Sementara itu, pereka fesyen, Bruno George, yang berasal dari Sabah berkata, dia menyahut cabaran untuk menghasilkan sebuah kostum kebangsaan yang melambangkan budaya Sarawak.
Bruno mendedahkan, dia mengambil masa kira-kira 500 jam untuk menyiapkan kostum itu yang akhirnya diperagakan oleh Adriel Nyawai sebagai wakil Sarawak di pentas Mister Cultural Ambassador 2022 di Sabah.
“Konsep kostum ini berunsurkan raja yang digabungkan dengan motif dan tradisi kebudayaan Sarawak.
“Salah satunya adalah Jata Negeri Sarawak, Burung Kenyalang dan juga motif tradisi bangsa Iban iaitu kain pua kumbu,” katanya.
Fesyen rekaan Bruno telah membanggakan Sarawak apabila berjaya memenangi kategori Kostum Kebangsaan Terbaik dengan menewaskan 15 peserta lain selain membantu Adriel menduduki tempat kedua dalam pertandingan berkenaan. -TVS