KUCHING, 8 April : Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpandangan DAP hanya mengulangi ‘skrip lama’ apabila mahu bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain di Sarawak berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Timbalan Ketuanya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, objektif di sebalik kerjasama itu hanya kerana mahu menjatuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat menerima sokongan padu rakyat ketika ini.
“Usaha itu (bekerjasama dengan parti pembangkang lain) hanya menyusahkan rakyat.
“Sepatutnya mereka (DAP) fikir polisi terbaik untuk membantu rakyat kerana jika menang, apa pelan dan tindakan untuk melaksanakan janji pilihan raya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita merasmikan pembukaan Bazar Ramadan Matang di sini semalam.
Fazzrudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen yang mahu berbincang keberangkalian untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini untuk berdepan PRU-15 akan datang.
Mengulas lanjut, Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak berkata, tindakan DAP itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Drama sama berulang lagi tahun ini apabila pembangkang hanya mahu bekerjasama sesama sendiri dan bukannya mahu membantu rakyat,”katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, parti – parti pembangkang di Sarawak juga mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza menyebabkan mereka sukar untuk mengenal pasti ‘gandingan terbaik’ untuk membentuk kerjasama. -TVS