KUCHING, 7 April : Penjualan tiket bas membabitkan destinasi keluar dan masuk Sibu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika ini menunjukkan trend peningkatan ketara.
Pegawai Pemasaran Tiket Bas, Rohaida Abdullah berkata, berdasarkan rekod jualan, tempahan tiket bagi kebanyakan operator bas hampir penuh terutama bagi perjalanan seminggu sebelum Aidilfitri.
“Tempahan secara dalam talian tiket sudah penuh untuk tarikh perjalanan bermula 28 April sehingga 3 Mei ini,” katanya kepada TVS.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, kadar harga yang dikenakan juga kekal seperti tahun sebelum ini.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat tempahan awal bagi mengelak kesulitan pada saat akhir selain terus mematuhi setiap prosedur operasi standard yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
Selepas dua tahun tidak dibenarkan merentas negeri ketika Aidilfitri, tahun ini peraturan serupa dijangka tidak akan dilaksanakan. -TVS